.:: PENGUMUMAN ::.


.:: PROGRAM WAKAF SURAU ::.

Pihak Surau ingin menjemput Tuan/Puan yang berminat untuk menyertai program wakaf surau dengan bayaran RM 100/sekaki persegi. Kepada ahli qariah yang berminat bolehlah menghubungi Pengerusi Surau Pak Ngah (016-2161049) atau hadir ke Surau untuk mendapatkan maklumat lanjut.



* * * * * * *



LINDUNGI keluarga anda daripada DENGGI luangkan masa selama 10 minit setiap minggu.

Cari dan hapuskan tempat pembiakan AEDES di rumah anda.
Cuci serta sental semua alas pasu bunga dan bekas jambangan bunga.
Buang sampah sarap dengan betul.
Masukkan bahan pembunuh jentik-jentik ke dalam bekas takungan air.
Bersihkan rumah anda dan kawasan sekelilingnya.

TAMAN KITA DI SERANG WABAK DENGGI, BERTINDAKLAH SEKARANG !!!
LUANGKAN 10 MINIT SETIAP MINGGU UNTUK MENCEGAHNYA


25 Dec 2011

[Fadhilat] SAFAR

Safar
Safar bulan kedua mengikut perkiraan kalendar Islam yang berdasarkan tahun Qamariah (perkiraan bulan mengelilingi bumi). Safar ertinya kosong. Dinamakan Safar kerana dalam bulan ini orang-orang Arab sering meninggalkan rumahtangga mereka menjadi kosong kerana melakukan serangan dan menuntut pembalasan keatas musuh-musuh mereka.

Menurut kepercayaan turun-temurun sesetengah orang Islam yang jahil, bulan Safar ini merupakan bulan turunnya bala bencana dan malapetaka khususnya pada hari Rabu minggu terakhir. Oleh sebab itu setiap tahun mereka melakukan amalan-amalan karut sebagai cara menolak bala yang dipercayainya itu. Selama berpuluh atau mungkin beratus tahun lamanya mereka telah mengamalkan madi-manda dan berpesta yang dikenali dengan "mandi safar" pada hari Rabu minggu yang terakhir dalam bulan Safar ini. Kebanyakan umat Islam pada masa ini khususnya orang-orang tua di negara ini tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan dalam bulan Safar kerana mereka berpendapat kedua pengantin nanti tidak akan mendapat zuriat.

Sebenarnya nahas atau bala bencana itu tidaklah berlaku hanya pada bulan Safar sahaja. Kepercayaan karut itu telah ditolak dan dibenteras dengan kerasnya oleh agama Islam, sebagaimana telah difirmankan oleh Allah s.w.t dalam surah at-Taubah ayat 51 yang bermaksud : 
"Katakanlah (wahai Muhammad): tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatupun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu), maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakkal".

Oleh yang demikian umat Islam hendaklah membuang sangkaan atau kepercayaan karut tersebut supaya kita terlepas daripada amalan syirik.

26 Nov 2011

[Fadhilat] MUHARRAM

Muharram
Muharram bererti diharamkan. Bulan Muharram, bulan pertama dalam kiraan tahun Qamariah (Hijriah) dan salah satu dari empat bulan yang dihormati.

Doa Awal Tahun:
1 Muharram adalah permulaan kiraan tahun hijrah, maka pada tarikh ini setiap umat Islam disunatkan membaca doa awal tahun. Waktunya ialah selepas menunaikan sembahyang fardu Mahgrib. Doa tersebut yang bermaksud:
"Segala pujian itu bagi Allah, Tuhan Pentadbir seluruh alam, rahmat dan sejahtera atas penghulu kami Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga dan sahabat-sahabat baginda sekalian. Ya Allah Ya Tuhan kami, Engkaulah jua Tuhan yang kekal selama-lamanya sedia lagi ada, tiada permulaan, kelebihan-Mu Maha Besar dan Kemurahan-Mu amat limpah yang sangat-sangat diharapkan. Tibalah sudah tahun baru, kami mohon kepada-Mu pertolongan mengalahkan runtunan nafsu ammarah (nafsu yang mendorong kepada jalan-jalan kejahatan). Kami mohon juga kepada-Mu Ya Allah rasa sedia ada ingin membuat kerja-kerja kebajikan yang boleh mendampingkan diri kami kepada-Mu. Ya Allah, Tuhan Yang Maha Agung lagi Maha Mulia, Ya Allah Tuhan sebaik-baik yang mengurniakan rahmat dan juga sejahtera atas junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga dan sahabat-sahabat baginda sekalian, segala pujian itu bagi Allah, Tuhan Pentadbir seluruh alam".

Hari 'Asyura
Muharram mengandungi pelbagai peristiwa penting dalam perkembangan Islam sejak Nabi Adam alaihissalam dijadikan oleh Allah subhanahu wataala. Satu kelebihan dalam bulan Muharram ialah pada hari kesepuloh yang dikenali sebagai hari 'Asyura. Pada hari tersebut, umat Islam disunatkan berpuasa.
Al-Imam at-Tarmizi telah meriwayatkan dari Abu Qutadah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
"Berpuasa pada hari 'Asyura akan termasuk dalam hitungan Allah bahawa puasa itu akan menutup dosa setahun sebelumnya".

Kelebihan berpuasa di bulan Muharram sebagaimana diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dari Abu Hurairah radiallahu anhu, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
"Puasa yang utama (afdal) sesudah Ramadan ialah puasa di bulan Muharram".

Antara peristiwa yang berlaku pada hari Asyura:
  • Allah s.w.t jadikan 7 petala langit dan 7 petala bumi. Allah s.w.t jadikan  bulan, bintang, matahari dan cakerawala. Allah s.w.t jadikan Arasy, Loh Mahfuz, Kalam dan Malaikat.
  • Allah s.w.t mencipta Nabi Adam a.s. Allah s.w.t menjadikan Siti Hawa. Allah s.w.t menjadikan Syurga. Diampunkan dosa Nabi Adam a.s. setelah bertahun-tahun memohon keampunan kerana melanggar larangan Allah s.w.t.
  • Nabi Noh a.s diselamatkan oleh Allah s.w.t keluar dari bahtera setelah bumi di tenggelami banjir selama 6 bulan.
  • Nabi Yunus a.s selamat keluar dari perut ikan setelah berada didalamnya selama 40 hari dan 40 malam.
  • Laut merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa a.s bersama pengikutnya daripada tentera Firaun. Firaun dan pengikutnya tenggelam kedalam lautan tersebut.
  • Nabi Isa a.s diangkat ke Syurga ketika diburu oleh tentera Rom untuk menyalib Baginda.
  • Saidina Hussein ibni Ali telah syahid akibat dibunuh dengan kejam di Karbala oleh tentera Khalifah Bani Umaiyyah iaitu Khalifah Yazid.

5 Nov 2011

[Info-Sihat] Denggi

Apa itu Demam Denggi?
Demam denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk yang menjadi masalah utama kesihatan awam antarabangsa dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Jenis demam denggi yang lebih merbahaya ialah demam denggi berdarah. Ia merupakan punca utama kematian kanak-kanak di kebanyakan negara hari ini.Demam denggi dibawa oleh nyamuk Aedes kepada manusia melalui gigitannya.

Bagaimanakah penyakit ini merebak?
Demam denggi didapati berlaku di kawasan bandar dan sekitarnya di negara-negara rantau tropika. Sesiapa sahaja yang digigit nyamuk yang membawa kuman virus denggi menghadapi risiko yang lebih tinggi mendapat denggi. Demam denggi menyerupai demam selsema dan ciri klinikalnya berbeza-beza mengikut umur pesakit.

Pemindahan penyakit:
  • Virus denggi dipindahkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes yang membawa virus denggi. 
  • Nyamuk berupaya menyebarkan penyakit berkenaan dalam jangka masa 8 - 12 hari selepas menghisap darah manusia (perumah). 
  • Nyamuk betina yang dijangkiti virus denggi boleh memindahkan virus tersebut ke generasi seterusnya melalui pemindahan transovarial (melalui ovari). 
  • Manusia masih merupakan perumah gandaan utama bagi virus denggi walaupun terdapat kajian menunjukkan di beberapa bahagian tertentu di dunia, monyet boleh dijangkiti dan menjadi sumber virus bagi nyamuk yang belum dijangkiti. 
  • Virus denggi dari perumah pertama (mangsa pertama) hanya dapat menjangkiti/dipindahkan ke perumah kedua 18 jam sebelum suhu badan meningkat dan sekurang-kurangnya 3 hari selepas timbulnya gejala penyakit.

28 Oct 2011

Pelan Bangunan Tambahan Surau

Lakaran Plan



















Rekabentuk tambahan bangunan surau dan dua bangunan baru  yang di cadangkan sedang di dalam proses untuk di majukan ke Majlis Perbandaran Nilai untuk di luluskan .

Bangunan baru itu terdiri:
1) Satu bangunan dua tingkat , di sabelah bawah untuk di jadikan dewan serbaguna dan di atas untuk di jadikan bilik pembelajaran. 

2) Satu bangunan satu tingkat untuk bilik pengurusan jenazah , store , kolah dan tempat udhu’ tambahan .


Kos bagi bagunan tambahan surau di anggarkan RM 150,000.00 dan dua bangunan 
baru dengan aggaran RM 350,000.00 , jumlah keperluan dana untuk membina semua nya ialah RM 500,000.00.

Pihak Surau telahpun melancarkan Tabung Pembinaan Bangunan Tambahan Surau bagi mengumpul dana yang diperlukan. Kepada yang berminat untuk menderma bolehlah mendapatkan borang di sebelah kanan blog ini.

Sekian.

21 Oct 2011

Kursus Penyembelihan

Pihak AJK Surau akan menganjurkan Kursus Penyembelihan bersempena Majlis Perasmian Surau Al Hidayah pada :

Tarikh   : 29hb Oktober 2011 / 2 Zulhijjah 1432H
Tempat : Surau Al Hidayah Desa Kolej
Masa     : 3.00 Petang

Kepada penduduk yang berminat dijemput untuk hadir sama bagi memeriahkan majlis ini dimana pada malam harinya pula akan diadakan Majlis Berzanji & Marhaban bermula jam 9.00 malam.

SEMBELIHAN

Sembelihan dalam bahasa Arab disebut sebagai zabihah yang bermaksud sembelihan binatang yang halal dimakan mengikuti lunas-lunas syarak dan syarat-syarat tertentu.


Hikmah Disyariatkan

Sembelihan dan bangkai merupakan dua istilah yang berbeza di mana hukum memakan bangkai adalah haram dan ianya dikategorikan sebagai najis.

Justeru, sembelihan membezakan antara yang halal dan yang haram atau dalam erti kata lain sembelihan dalam hukum syarak merupakan pembeza yang mutlak antara kedua-duanya.

Sembelihan menjamin kesihatan orang memakannya kerana ianya menyucikan binatang yang disembelih itu daripada darah dan seperti mana yang kita maklum darah dikategorikan sebagai najis.

Kematian binatang dengan cara dicekik atau dilanggar akan menyebabkan darah menjadi beku di dalam tubuh haiwan tersebut dan boleh menyebabkan orang yang memakan bangkai tersebut mendapat penyakit.


Jenis-Jenis Sembelihan

Sembelihan dibahagikan kepada 3 bahagian :-
  • Al-Zabhu - Memotong batang leher sebelah atas haiwan yang boleh ditangkap oleh manusia untuk disembelih dengan syarat-syarat tertentu.
  • Al-Nahru - Memotong batang leher sebelah bawah haiwan dan disunatkan menyembelih unta.
  • Al-Aqru - Sembelihan yang dilakukan secara darurah (terpaksa) dengan cara mencederakan haiwan tertentu (pada mana-mana bahagian badannya) dengan kecederaan yang membawa kepada maut.
Al-Aqru juga ialah cara menyembelih binatang yang liar (yang boleh dimakan) dan tidak boleh ditangkap oleh tuannya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sesungguhnya binatang-binatang ini memiliki sifat binatang liar, apabila ia mengatasi kamu makan lakukanlah terhadapnya seperti ini."
(Hadis riwayat al-Bukhari : 5190 dan Muslim: 1968 daripada Rafi' bin Khudaij r.a)


Syarat SAH Sembelihan

Syarat Penyembelih:
  • Islam atau ahli Kitab
  • Sembelihan hanya diniatkan kerana Allah SWT atau dengan nama Allah SWT.
Syarat Alat Sembelihan:
  • Alat Sembelihan mestilah tajam dan diperbuat daripada besi, tembaga, timah, kaca, batu, dan yang seumpamanya.
  • Tidak menggunakan gigi atau kuku sebagai alat sembelihan
Syarat Binatang Sembelihan:
  • Penyembelih dapat menangkap haiwan yang tidak mengalami kesakitan dan kecederaan sebelum disembelih.
  • Putus halkum dan urat merih.
  • Memotong sekaligus dengan cepat.

Perkara-Perkara Sunat Sembelihan
  • Memotong urat di tepi batang leher, mengelilingi halkum.
  • Menajamkan alat sembelihan.
  • Binantang yang hendak disembelih itu perlulah dibaringkan di sebelah rusuk kirinya.
  • Menghadap kiblat.

*Rujukan : Indahnya Hidup Bersyariat Dato' Ismail Kamus & Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid

6 Oct 2011

Kursus Asas Imam dan Muazzin

Pihak AJK Surau akan menganjurkan Kursus Asas Imam dan Muazzin pada :

Tarikh   : 9hb Oktober 2011 / 11 Zulkaedah 1432H
Tempat : Surau Al Hidayah Desa Kolej
Masa     : 9.00 Pagi

Kepada penduduk yang berminat bolehlah dapatkan borang pendaftaran kursus ini di surau.

4 Oct 2011

ISTILAH KORBAN

Korban bermaksud hampir. Dari segi istilah bermaksud menyembelih binatang tertentu pada Hari Raya Aidiladha dan hari Tasyrik, iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan tujuan untuk beribadat atau menghampirkan diri kepada Allah SWT.

Dalil yang menerangkan ibadah korban bermaksud
"Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah."
(Surah al-Kausar: 2)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud
"Nabi SAW telah berkorban dengan menyembelih dua ekor kibasy yang berwarna putih dan bertanduk. Baginda sendiri yang menyembelih kedua-duanya dan Baginda telah menyebut nama Allah, bertakbir sambil meletakkan kakinya di atas tengkuk kibasy tersebut."
(Hadith riwayat al-Bukhari: 5245 dan Muslim: 1966)

Hukum korban ialah sunat muakkad, iaitu sangat dituntut ke atas umat Islam yang berkemampuan tetapi dihukumkan wajib apabila bernazar. Tuntutan sunat muakkad adalah bagi orang yang cukup syarat-syaratnya seperti Islam, sempurna akal dan baligh. Orang berkorban dianjurkan menyembelih binatang itu sendiri atau sekurang-kurangnya melihat pada waktu penyembelihan di lakukan.


Hikmah Disyariatkan

* Menghidupkan erti pengorbanan besar yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s.

* Sebagai tanda pengabdian diri dan tunduk patuh kepada Allah SWT.

* Menambahkan rasa kasih sayang dan ikatan persaudaraan sesama umat Islam apabila menyedekahkan daging korban tersebut kepada insan yang memerlukan.


* Sumber : Indahnya Hidup Bersyariat Dato' Ismail Kamus & Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid

30 Sept 2011

[INFO] SOLAT HAJAT - 30/09/2011 Selepas Maghrib

Dijemput semua hadir bersama-sama dalam mengerjakan SOLAT HAJAT bagi anak-anak kariah yang bakal menduduki peperiksaan pada tahun ini.

30 Aug 2011

Selamat Hari Raya Eid Fitr

Assalamualaikum wbk

Kepada semua penduduk Islam Desa Kolej. Setelah berpuasa selama sebulan di bulan Ramadhan , pada hari ini kita di datangi Syawal , mudah mudahan amalan puasa , qiam , sedekah , fitrah dan semua amalan kebaikan kita di bulan Ramadhan yang berlalu di terima Allah.

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Eid Fitr , maaf zahir bathin kepada Ajk Surau Al-Hidayah dan penduduk Islam Desa Kolej, Putra Nilai ,  moga syawal ini disambut dengan meriah dan  silatulrahim kita sebagai umat Islam akan berambah erat lagi . insyaAllah .

Kul lu 'am , wa antum bikhair , Taqabbalallahu minna wa minkum .

Wassalam 

Pengerusi
Surau Al-Hidayah , Desa Kolej , Putra Nilai .

28 Aug 2011

Solat di Surau Al Hidayah Desa Kolej

Assalamualaikum wbk ,


Alhamdulillah , dengan izinNya surau Al Hidayah Desa Kolej telah dapat disiapkan dan solat telah mulakan didirikan di surau ini pada Maghrib hari Sabtu , 20hb Ogos 2011 bersamaan 20hb Ramadhan 1432H .

Walaupun solat mula didirikan pada sepuluh malam terakhir Ramadhan , sambutannya amatlah memberansangkan , surau telah menyediakan dua buah khemah untuk keselesaan jemaah untuk bersolat , beristirehat dan menjamu selera salepas solat terawikh .

Kami mengucapkan selamat datang dan mengalu-alukan kehadiran Tuan/Puan sekalian untuk mengimarahkan dan solat berjamaah di surau ini. InsyaAllah kita akan memulakan aktiviti yang lain  selepas Eid Fitri , diantara nya ialah sambutan hari raya Aidil Fitr , kuliah subuh , kelas berzanji  dan lain lain aktiviti yang akan di umumkan dari masa ke semasa .

Wassalam.

Pengerusi
Surau Al Hidayah Desa Kolej .

Selamat datang ke Surau Al Hidayah , Desa Kolej , Putra Nilai , Nilai .N.Sembilan DK.

Bismillah Hir Rahman nir Rahim .


Assalamualaikum wbk ,


Al-hamdulillah , segala puji bagi Allah SWT , selawat dan salam buat Nabi junjungan Muhammad s.a.w. dengan izinNya laman blog Surau Al-Hidayah , Desa Kolej , Putra Nilai , Nilai . N.Sembilan DK dapat dibangunkan .


Umumnya , tujuan blog ini di wujudkan adalah sebagai satu saluran bagi Jawatankuasa Surau menyampaikan agenda program terkini dan aktiviti yang telah dan akan diadakan. Ianya bagi memenuhi dan mengisi ruang pembelajaran dan pembangunan insaniah anak-anak kariah Desa Kolej. Menjadi harapan kami  AJK Surau , agar ahli dan anak-anak karyah akan mendapat manafaat dan panduan dari info yang dipaparkan di blog ini .


AJK surau juga mengalu-alukan pandangan dan cadangan dari ahli kariah dan pengunjung blog ini untuk meningkatkan mutu laman blog Surau Al-Hidayah , Desa Kolej .


Saya mengucapkan ribuan terima kasih kapada ahli kariah yang telah memberi buah fikiran dan sokongan bagi mengujudkan laman blog ini , mudah mudahan laman ini akan jadi medan informasi dan penghubung kepada semua ahli-ahli kariah.

Akhir kalam , saya mengucapkan selamat datang kepada semua ahli-ahli kariah dan pengungjung laman ini .


Wassalam .

Pengerusi
Surau Al-Hidayah Desa Kolej