.:: PENGUMUMAN ::.


.:: PROGRAM WAKAF SURAU ::.

Pihak Surau ingin menjemput Tuan/Puan yang berminat untuk menyertai program wakaf surau dengan bayaran RM 100/sekaki persegi. Kepada ahli qariah yang berminat bolehlah menghubungi Pengerusi Surau Pak Ngah (016-2161049) atau hadir ke Surau untuk mendapatkan maklumat lanjut.



* * * * * * *



LINDUNGI keluarga anda daripada DENGGI luangkan masa selama 10 minit setiap minggu.

Cari dan hapuskan tempat pembiakan AEDES di rumah anda.
Cuci serta sental semua alas pasu bunga dan bekas jambangan bunga.
Buang sampah sarap dengan betul.
Masukkan bahan pembunuh jentik-jentik ke dalam bekas takungan air.
Bersihkan rumah anda dan kawasan sekelilingnya.

TAMAN KITA DI SERANG WABAK DENGGI, BERTINDAKLAH SEKARANG !!!
LUANGKAN 10 MINIT SETIAP MINGGU UNTUK MENCEGAHNYA


23 Feb 2012

[Fadhilat] RABIUL AKHIR - JAMADIL AWAL

Rabiul Akhir 
Rabiul Akhir adalah bulan keempat mengikut kalendar Islam. Rabiul akhir juga dikenali sebagai "Rabius Thani" ertinya musim bunga yang kedua.

Jamadil Awal
Jamadil Awal adalah bulan kelima dalam kalendar Islam. Jamadil Awal bererti musim sejuk yang pertama.

Amalan-amalan sunat di bulan Rabiul Akhir & Jamadil Awal adalah sama seperti amalan-amalan sunat di bulan-bulan lain. Tiada amalan-amalan istimewa yang khas untuknya yang menjadi amalan Rasulullah S.A.W ataupun para sahabat mahupun salafus-soleh. Kita dianjurkan untuk meningkatkan amalan-amalan baik dari hari ke hari tanpa mengira apa jua bulan dalam taqwim. Tingkatkan mutu amalan-amalan fardhu dan tambah amalan-amalan sunat pada setiap masa seperti yang disarankan oleh Islam tidak kira di dalam bulan mana sekalipun.

Yang penting adalah niat yang disertakan keikhlasan.

25 Jan 2012

[Fadhilat] RABIUL AWAL

Rabiul Awal
Rabiulawal adalah bulan ketiga mengikut kalendar Islam. Rabiulawal bererti musim bunga yang pertama. Ia amat terkenal dikalangan masyarakat Islam kerana didalam bulan inilah Nabi Muhammad S.A.W dilahirkan iaitu pada 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571 Masehi. Perlantikan menjadi Rasul pada 9 Rabiulawal bersamaan 610 Masehi dan kewafatan baginda Nabi Muhammad S.A.W pada 12 Rabiulawal, tahun 11 Hijriah.

Sebagai Hamba Allah yang taat kepada perintah-Nya dan Rasul-Nya hendaklah mengingati hari kelahiran Junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W dengan memperbanyakkan zikir dan selawat tanda bersyukur kepada Allah diatas limpah kurnia-Nya mengutus Nabi Muhammad S.A.W yang membawa manusia kejalan kebaikan dan menegah daripada jalan kejahatan. Kewajipan kita sebagai umat baginda ialah menyambung perjuangan baginda itu dengan menyeru manusia kepada jalan Allah dan menegah daripada perbuatan mungkar.

Firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imraan ayat 31-32 yang bermaksud :
"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad); "Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir".

25 Dec 2011

[Fadhilat] SAFAR

Safar
Safar bulan kedua mengikut perkiraan kalendar Islam yang berdasarkan tahun Qamariah (perkiraan bulan mengelilingi bumi). Safar ertinya kosong. Dinamakan Safar kerana dalam bulan ini orang-orang Arab sering meninggalkan rumahtangga mereka menjadi kosong kerana melakukan serangan dan menuntut pembalasan keatas musuh-musuh mereka.

Menurut kepercayaan turun-temurun sesetengah orang Islam yang jahil, bulan Safar ini merupakan bulan turunnya bala bencana dan malapetaka khususnya pada hari Rabu minggu terakhir. Oleh sebab itu setiap tahun mereka melakukan amalan-amalan karut sebagai cara menolak bala yang dipercayainya itu. Selama berpuluh atau mungkin beratus tahun lamanya mereka telah mengamalkan madi-manda dan berpesta yang dikenali dengan "mandi safar" pada hari Rabu minggu yang terakhir dalam bulan Safar ini. Kebanyakan umat Islam pada masa ini khususnya orang-orang tua di negara ini tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan dalam bulan Safar kerana mereka berpendapat kedua pengantin nanti tidak akan mendapat zuriat.

Sebenarnya nahas atau bala bencana itu tidaklah berlaku hanya pada bulan Safar sahaja. Kepercayaan karut itu telah ditolak dan dibenteras dengan kerasnya oleh agama Islam, sebagaimana telah difirmankan oleh Allah s.w.t dalam surah at-Taubah ayat 51 yang bermaksud : 
"Katakanlah (wahai Muhammad): tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatupun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu), maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakkal".

Oleh yang demikian umat Islam hendaklah membuang sangkaan atau kepercayaan karut tersebut supaya kita terlepas daripada amalan syirik.

26 Nov 2011

[Fadhilat] MUHARRAM

Muharram
Muharram bererti diharamkan. Bulan Muharram, bulan pertama dalam kiraan tahun Qamariah (Hijriah) dan salah satu dari empat bulan yang dihormati.

Doa Awal Tahun:
1 Muharram adalah permulaan kiraan tahun hijrah, maka pada tarikh ini setiap umat Islam disunatkan membaca doa awal tahun. Waktunya ialah selepas menunaikan sembahyang fardu Mahgrib. Doa tersebut yang bermaksud:
"Segala pujian itu bagi Allah, Tuhan Pentadbir seluruh alam, rahmat dan sejahtera atas penghulu kami Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga dan sahabat-sahabat baginda sekalian. Ya Allah Ya Tuhan kami, Engkaulah jua Tuhan yang kekal selama-lamanya sedia lagi ada, tiada permulaan, kelebihan-Mu Maha Besar dan Kemurahan-Mu amat limpah yang sangat-sangat diharapkan. Tibalah sudah tahun baru, kami mohon kepada-Mu pertolongan mengalahkan runtunan nafsu ammarah (nafsu yang mendorong kepada jalan-jalan kejahatan). Kami mohon juga kepada-Mu Ya Allah rasa sedia ada ingin membuat kerja-kerja kebajikan yang boleh mendampingkan diri kami kepada-Mu. Ya Allah, Tuhan Yang Maha Agung lagi Maha Mulia, Ya Allah Tuhan sebaik-baik yang mengurniakan rahmat dan juga sejahtera atas junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga dan sahabat-sahabat baginda sekalian, segala pujian itu bagi Allah, Tuhan Pentadbir seluruh alam".

Hari 'Asyura
Muharram mengandungi pelbagai peristiwa penting dalam perkembangan Islam sejak Nabi Adam alaihissalam dijadikan oleh Allah subhanahu wataala. Satu kelebihan dalam bulan Muharram ialah pada hari kesepuloh yang dikenali sebagai hari 'Asyura. Pada hari tersebut, umat Islam disunatkan berpuasa.
Al-Imam at-Tarmizi telah meriwayatkan dari Abu Qutadah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
"Berpuasa pada hari 'Asyura akan termasuk dalam hitungan Allah bahawa puasa itu akan menutup dosa setahun sebelumnya".

Kelebihan berpuasa di bulan Muharram sebagaimana diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dari Abu Hurairah radiallahu anhu, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
"Puasa yang utama (afdal) sesudah Ramadan ialah puasa di bulan Muharram".

Antara peristiwa yang berlaku pada hari Asyura:
  • Allah s.w.t jadikan 7 petala langit dan 7 petala bumi. Allah s.w.t jadikan  bulan, bintang, matahari dan cakerawala. Allah s.w.t jadikan Arasy, Loh Mahfuz, Kalam dan Malaikat.
  • Allah s.w.t mencipta Nabi Adam a.s. Allah s.w.t menjadikan Siti Hawa. Allah s.w.t menjadikan Syurga. Diampunkan dosa Nabi Adam a.s. setelah bertahun-tahun memohon keampunan kerana melanggar larangan Allah s.w.t.
  • Nabi Noh a.s diselamatkan oleh Allah s.w.t keluar dari bahtera setelah bumi di tenggelami banjir selama 6 bulan.
  • Nabi Yunus a.s selamat keluar dari perut ikan setelah berada didalamnya selama 40 hari dan 40 malam.
  • Laut merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa a.s bersama pengikutnya daripada tentera Firaun. Firaun dan pengikutnya tenggelam kedalam lautan tersebut.
  • Nabi Isa a.s diangkat ke Syurga ketika diburu oleh tentera Rom untuk menyalib Baginda.
  • Saidina Hussein ibni Ali telah syahid akibat dibunuh dengan kejam di Karbala oleh tentera Khalifah Bani Umaiyyah iaitu Khalifah Yazid.

5 Nov 2011

[Info-Sihat] Denggi

Apa itu Demam Denggi?
Demam denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk yang menjadi masalah utama kesihatan awam antarabangsa dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Jenis demam denggi yang lebih merbahaya ialah demam denggi berdarah. Ia merupakan punca utama kematian kanak-kanak di kebanyakan negara hari ini.Demam denggi dibawa oleh nyamuk Aedes kepada manusia melalui gigitannya.

Bagaimanakah penyakit ini merebak?
Demam denggi didapati berlaku di kawasan bandar dan sekitarnya di negara-negara rantau tropika. Sesiapa sahaja yang digigit nyamuk yang membawa kuman virus denggi menghadapi risiko yang lebih tinggi mendapat denggi. Demam denggi menyerupai demam selsema dan ciri klinikalnya berbeza-beza mengikut umur pesakit.

Pemindahan penyakit:
  • Virus denggi dipindahkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes yang membawa virus denggi. 
  • Nyamuk berupaya menyebarkan penyakit berkenaan dalam jangka masa 8 - 12 hari selepas menghisap darah manusia (perumah). 
  • Nyamuk betina yang dijangkiti virus denggi boleh memindahkan virus tersebut ke generasi seterusnya melalui pemindahan transovarial (melalui ovari). 
  • Manusia masih merupakan perumah gandaan utama bagi virus denggi walaupun terdapat kajian menunjukkan di beberapa bahagian tertentu di dunia, monyet boleh dijangkiti dan menjadi sumber virus bagi nyamuk yang belum dijangkiti. 
  • Virus denggi dari perumah pertama (mangsa pertama) hanya dapat menjangkiti/dipindahkan ke perumah kedua 18 jam sebelum suhu badan meningkat dan sekurang-kurangnya 3 hari selepas timbulnya gejala penyakit.

28 Oct 2011

Pelan Bangunan Tambahan Surau

Lakaran Plan



















Rekabentuk tambahan bangunan surau dan dua bangunan baru  yang di cadangkan sedang di dalam proses untuk di majukan ke Majlis Perbandaran Nilai untuk di luluskan .

Bangunan baru itu terdiri:
1) Satu bangunan dua tingkat , di sabelah bawah untuk di jadikan dewan serbaguna dan di atas untuk di jadikan bilik pembelajaran. 

2) Satu bangunan satu tingkat untuk bilik pengurusan jenazah , store , kolah dan tempat udhu’ tambahan .


Kos bagi bagunan tambahan surau di anggarkan RM 150,000.00 dan dua bangunan 
baru dengan aggaran RM 350,000.00 , jumlah keperluan dana untuk membina semua nya ialah RM 500,000.00.

Pihak Surau telahpun melancarkan Tabung Pembinaan Bangunan Tambahan Surau bagi mengumpul dana yang diperlukan. Kepada yang berminat untuk menderma bolehlah mendapatkan borang di sebelah kanan blog ini.

Sekian.